Sunday, January 17, 2010

BORANG PENDAFTARAN AHLI

Sebelum mengisi borang keahlian ini, anda dikehendaki membaca Fasal 4 hingga Fasal 6 Perlembagaan Persatuan dengan teliti. Borang yang telah lengkap hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan di alamat yang tertera di Fasal 2 beserta wang pendaftaran (mengikut jenis keahlian yang dipilih).


Klik link yang disediakan berikut untuk paparan borang keahlian;
sebarang pertanyaan berkenaan urusan pendaftaran, boleh emel terus kepada persatuan atau post di FB. tq

Saturday, January 16, 2010

GAMBAR KENANGAN

Gambar kenangan bersama Tuan Haji Abdul Adzis Bin Abas, mantan Penolong Kanan dan Pemangku Pengetua SMK Menggatal (1977 - 1981).Gambar ini diambil semasa Majlis Jamuan Ramah Mesra Tuan Haji Abdul Adzis dengan bekas pelajar SMK Menggatal (batch 1980-an) yang telah diadakan pada tarikh 29 Julai 2008 (Selasa, 7.30 mlm) bertempat di Restoran The Choice (Jln. Lintas). Pihak penaja alumni diwakili oleh En. Norallysham Stoh, Dr. Mariana Mahmood dan Pn. Anne Sidek manakala pihak sekolah diwakili oleh Pn Hapsah Karmin (mantan PK Pentadbiran) dan En. Muhamat Abdul Rahman (Penyelaras Alumni).

PERLEMBAGAAN PERSATUAN

UNDANG-UNDANG BAGI
PERSATUAN ALUMNI SMK MENGGATAL, SABAH



FASAL 1 NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Alumni SMK Menggatal, Sabah. Selepas ini disebut Persatuan.


FASAL 2 TEMPAT URUSAN

(1) Alamat dan tempat urusan berdaftar dan surat-menyurat Persatuan ialah di SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Jln. Tuaran, 88450, Kota Kinabalu, Sabah atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa.

(2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.



FASAL 3 TUJUAN / MATLAMAT

(1) Menjaga hak ahli-ahli, mengatur aktiviti sosial, ekonomi, sukan dan kebajikan demi keselesaan dan kepentingan ahli Persatuan.

(2) Mengeratkan hubungan silaturahim, perpaduan serta kerjasama di kalangan ahli Persatuan, serta mengumpul segala kepakaran yang terdapat di kalangan ahli untuk kepentingan masyarakat amnya dan sekolah khususnya dan menjadi jambatan penghubung di antara ahli dengan sekolah dan masyarakat.

(3) Menyelaraskan aktiviti-aktiviti sosial dan kebajikan ahli-ahli ke arah hidup bermasyarakat yang lebih mampan.

(4) Mewujudkan rangkaian ahli yang terdapat di seluruh negara dan mengumpul maklumat untuk membentuk satu rangkaian yang sistematik dan tersusun.

(5) Mengadakan aktiviti persatuan melalui penerbitan, jurnal, makalah, perjumpaan, perbincangan, mesyuarat, simposium dan sebagainya bagi menyalurkan maklumat dan ilmu kepada ahli dan masyarakat dengan terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada jabatan kerajaan yang berkenaan.



FASAL 4 KEAHLIAN

(1) Keahlian Persatuan ini adalah terdiri daripada 2 kategori:

(a) Ahli Biasa

Terbuka kepada semua warganegara Malaysia, tanpa mengira jantina, bangsa, keturunan yang merupakan bekas pelajar, bekas guru dan juga bekas kakitangan SMK Menggatal / SMK Bandaraya Kota Kinabalu yang menetap di Sabah dan berminat dengan aktiviti Persatuan ini. Ahli Biasa berhak untuk mengundi dan memegang jawatan di dalam Persatuan.

(b) Ahli Seumur Hidup

Terbuka kepada semua ahli biasa yang membuat pembayaran sekaligus dalam permohonannya kepada Setiausaha. (Rujuk Jadual Bayaran di Fasal 5)

(2) Tiap-tiap permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.

(4) Seseorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.



FASAL 5 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

Jenis Keahlian
Ahli Biasa >>>>>>>>>>>>>>>>>Bayaran Masuk (RM 10.00) dan Yuran Tahunan (RM 12.00)
Ahli Seumur Hidup>>>>>>>>>>Bayaran Masuk (RM150.00) dan Yuran Tahunan (RM 00.00)

(2) Yuran Tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 10 hari pada awal tiap-tiap tahun.

(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha, dan hilangkan hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.



FASAL 6 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 7 MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

(a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;

(b) Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

(c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk tahun yang akan datang; dan

(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4) Setiausaha hendaklah menghantar notis panggilan mesyuarat kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 15 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan termasuk salinan minit mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(5) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:

(a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakan. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8) Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat Agung Khas. Tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan draf minit mesyuarat tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera dalam tempoh 30 hari setelah selesainya mesyuarat itu.



FASAL 8 JAWATANKUASA

(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Seorang Naib Presiden
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
8 orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dipilih semula tiap-tiap tahun.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

(11) Jawatankuasa yang lama hendaklah menyerahkan semua dokumen Persatuan seperti sijil pendaftaran, undang-undang berdaftar, salinan-salinan penyata tahunan, surat-surat maklumbalas, buku-buku, akaun, buku bank, cek, dan resit, geran-geran tanah, senarai-senarai aset dan sebagainya kepada Jawatankuasa baru semasa majlis penyerahan tugas dan dokumen diadakan. Walaubagaimanapun, jika terdapat kehilangan, kerosakan dan kesilapan kepada mana-mana dokumen atau harta yang didapati semasa Jawatankuasa lama memegang jawatan, maka ianya masih di bawah tanggungjawab Jawatankuasa yang lama.



FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1) Presiden, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

(2) Timbalan Presiden hendaklah membantu menjalankan tugas Presiden dan memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

(3) Naib Presiden hendaklah membantu Presiden dan Timbalan Presiden serta memangku jawatan Timbalan Presiden semasa ketiadaannya.

(4) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966.

(5) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(6) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan termasuk buku rekod yuran ahli dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha.

(7) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu pegawai-pegawai di atas dalam menjalankan tugas yang diarahkan oleh Jawatankuasa.



FASAL 10 KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, pembiayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih daripada RM 200 (Ringgit Malaysia Dua Ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dalam tempoh 14 hari dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Presiden, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 50,000 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 10,000 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha dan Bendahari.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

(7) Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana pelaburan atau perniagaan akan hanya digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan Persatuan ini dan tidak sebahagianpun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana ahli. Sungguhpun demikian, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik untuk mengaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada mana-mana ahli atau pekerja Persatuan bagi perkhidmatan yang benar-benar diberikan kepada Persatuan ini.



FASAL 11 PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.



FASAL 12 PEMEGANG AMANAH

(1) Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hak milik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Persatuan.

(3) Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.



FASAL 13 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras, dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.



FASAL 14 PENASIHAT / PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.



FASAL 15 LARANGAN

(1) Permainan yang disebutkan di bawa ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker`s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

(2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

(3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.
FASAL 16 PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.



FASAL 17 PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Persatuan hendaklah dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh membuat keputusan pembubaran itu.




* Diambil daripada buku Perlembagaan Rasmi Persatuan Alumni SMK Menggatal*

Jawatankuasa Penaja 2009 / 2010

  • Presiden : Pn. Hjh. Fauziah Bt. Datuk Hj. Mohd. Din
  • T. Presiden : Tn. Hj. Gappar Bin Madin
  • N. Presiden : Pn. Ajanah Bt. Mohamed
  • Setiausaha : En. Norallysham Bin Stoh
  • Penolong Setiausaha : En. Nordin Bin Judin
  • Bendahari : Pn. Inismawati Bt. Yusup
  • 8 AJK biasa
    Ø Dr. Mariana Hj. Mahmood
    Ø Pn. Hjh. Rosilah Hj. Ahmad Nunsi
    Ø Pn. Anne Sidek
    Ø Pn. Saliah Hj. Kadis
    Ø Pn. Lucia Gabriel
    Ø Pn. Noorartini Binti Arjikal
    Ø Pn. Adeline Mohd. Saat
  • Ø Pn. Masni Goebin

SIJIL PENDAFTARAN PERSATUAN